KESUCIAN AL QURAN BRAILLE TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Assalamualaikum wrt wbt.
Firman Allah S.W.T dalam kitab suci:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ,
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. ( Al-Hijr - 9)
Sebagai pihak yang terlibat dalam penerbitan, pengedaran dan pengajaran Al Quran braille di Malaysia, sukalah kami memaklumkan kepada seluruh masyarakat beberapa fakta berkaitan Al Quran braille supaya ia dapat dijadikan panduan bagi seluruh masyarakat bersama mendokong dan menyokong usaha-usaha pemerkasaan Al Quran di kalangan OKU penglihatan di Malaysia khususnya dan dunia umumnya secara lebih mampan dan sempurna
1. Meskipun Al Quran braille berbeza dengan mashaf biasa dari sudut bentuk huruf, ia masih tetap sebuah kitab suci yang perlu dipelihara dari aspek ketepatan dan ketulinannya.
2. Justeru, setiap Al Quran braille di Malaysia tertakluk kepada kawalan dari Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Cetakan Al Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri.
3. Syukur Alhamdulillah, pihak kami dengan izin Allah S.W.T telahpun memperolehi kebenaran khusus dari Lembaga tersebut bagi menerbitkan dan mengedarkan AlQuran braille di Malaysia.
4. Pada ruang ini kami merakamkan setinggi terima kasih atas bimbingan dan nasihat dari pihak Lembaga dalam tempoh proses hingga kebenaran dikeluarkan.
5. Sesungguhnya ia suatu pengalaman yang amat berharga bilamana hampir 14 tahun bermula 1996 usaha ini dimulakan, akhirnya Berjaya.
6. Demikianlah kami amat mengharapkan seluruh masyarakat benar-benar memahami proses pemeliharaan ketepatan dan ketulinan Al Quran braille agar tiada OKU penglihatan di Malaysia dan di mana-mana sahaja diberikan Al Quran braille yang tiada jaminan ketepatan dan ketulinannya.
7. Demikian pula perkara sama kami harapkan kepada seluruh agensi kerajaan bagi memahami peranan yang dimainkan oleh Lembaga tersebut agar tiada lagi pengedaran AlQuran braille tanpa kebenaran dan kelulusan dari bahagian berautoriti di Kementerian Dalam Negeri.
8. Bagi pihak Pertis Malaysia, suatu badan yang dikenali sebagai
Jawatankuasa Quran Braille “JQB” yang dianggotai dari kalangan pakar berkaitan AlQuran braille telah kami adakan bertujuan memantapkan usaha pemeliharan Al Quran braille di Malaysia.
9. Dengan dokongan dari seluruh masyarakat secara umumnya dan pihak Islamic Relief Malaysia “IRM”, insya Allah kami bersedia menyediakan satu set AlQuran braille kepada seluruh OKU penglihatan di Malaysia khususnya dan aka dikembangkan ke peringkat serantau.
10. Dalam pada itu, apa yang lebih menjadi keprihatinan kami adalah usaha memberikan ilmu berkaitan AlQuran itu sendiri kepada OKU penglihatan. Ia termasuklah dari aspek bacaan dan ilmu-ilmu yang berkaitan.
11. Kerana itulah, dengan dokongan dari pihak IRM dalam penerbitan dan pengedaran AlQuran braille, tumpuan kami adalah mengadakan seberapa banyak kelas-kelas pengajian Al Quran braille di serata tempat dalam negara.
12. Bahkan usaha ini punyai cabaran tersendiri memandangkan masih ramai OKU penglihatan yang terpisah dari pendidikan arus perdana, lebih-lebih lagi pengajian dalam keilmuan AlQuran secara khusus dan Islam secara umum.
13. Dalam mendepani cabaran ini, sangat kami mengharapkan sokongan dan dokongan berterusan dari seluruh masyarakat bagi memastikan setiap jiwa dari kalangan OKU penglihatan di Malaysia ini dihidupkan dengan cahaya Islam.
14. Moga sedikit catatan ringkas ini mampu memberi pencerahan kepada setiap yang bertanya berkaitan perkembangan ilmu Islam dan Al Quran braille di kalangan OKU penglihatan di Malaysia.
Mohammad Faizal Che Yusof
Yang Dipertua
Pertis Malaysia
Comments
Post a Comment