Definisi & Pengkelasan OKU

DEFINISI & PENGKELASAN OKU



OKU merupakan singkatan kepada Orang Kurang Upaya yang mana istilah ini digunapakai secara meluas bagi merujuk kepada orang kurang upaya. Kini, OKU juga di sebut dengan Orang Kelainan Upaya. Menurut WHO (World Health Organisation), OKU didefinisikan sebagai:

“Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan vokasional”.

OKU berbeza mengikut tahap kecacatan yang mereka alami. Di sini, terdapat tujuh (7) kategori bagi OKU:



1. Kurang Upaya Pendengaran
Individu yang tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran. Terdapat 4 tahap yang boleh dikategorikan sebagai OKU pendengaran, iaitu:

Minima (Mild)- (20 - < 30 dB) (untuk orang dewasa)
Sederhana (Moderate)- (30 - < 60 dB)
Teruk (Severe)- (60 - < 90 dB)
Sangat Teruk (Profound)- (> 90 dB)

2. Kurang Upaya Penglihatan
Individu yang tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad sama ada di sebelah atau di kedua-dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan sepeti cermin mata atau kanta sentuh. OKU penglihatan yang dimaksudkan boleh dibahagi kepada:

3. Buta (Blind): Penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 10 darjah daripada fixation;
Penglihatan Terhad (Low Vision/Partially Sighted): Penglihatan lebih teruk daripada 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 20 darjah daripada fixation.

4. Kurang Upaya Fizikal
Seseorang yang mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu anggota di mana-mana bahagian anggota badan termasuklah keadaan anggota yang tidak sempurna yang mana keadaan ini akan menjejaskan keupayaannya. Jenis yang termasuk dalam kategori ini ialah kerdil, kudung tangan atau kaki atau keduanya, kudung ibu jari tangan, lumpuh, spina bifida, muscular dystrophy dan cerebral palsy. Bagi kekurangan (impairment) yang tidak menjejaskan fungsi seperti kudung satu jari, mempunyai 6 jari atau lebih dan tidak ada atau kurang sempurna cuping telinga tidak dikategorikan sebagai kurang upaya fizikal.

5. Masalah Pembelajaran
Seseorang yang menghadapi masalah kecerdasan otal yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah lembam, down syndrome, kurang upaya intelektual, autisme, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), masalah pembelajaran spesifik (dyslexia, dyscalculia, dygraphia) dan lewat perkembangan global (global development delay).

6. Kurang Upaya Pertuturan
Individu yang mengalami masalah pertuturan tetapi boleh mendengar.

7.  Kurang Upaya Mental
Seseorang yang menghadapi penyakit mental yang teruk yang telah menjalani rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya 2 tahun oleh Pakar Psikiatri. Akibat daripada penyakit yang dialami, mereka masih tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat walaupun setelah menjalani rawatan psikiatri. Antara jenis-jenis penyakit mental tersebut adalah Skizofrenia, Mood Disorder dan Organic Mental Disorder yang serius dan kronik.

8. Kurang Upaya Pelbagai
Individu yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan di bawah mana-mana lima (5) kategori lain yang sedia ada. Contohnya, seorang individu yang mengalami 2 jenis ketidakupayaan dari segi penglihatan dan pendengaran akan didaftarkan dalam kategori kurang upaya pelbagai.


http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/596-bayan-linnas-siri-41-menyantuni-golongan-oku

Comments

Popular posts from this blog

Nasi Linopot makanan tradisi suku kaum Dusun Kadazan

Nasi Lemak Beras Bukit Hitam Bersama Sambal Telur Mata Kerbau

How to " Wow " our garden